Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Dalam satu sesi sembang santai di Instagram ‘Live’ Hafiz Hashim semalam, atlet lontar peluru para negara, Ziyad Zolkefli telah berkongsi rasa kecewa dan sedih melihat tindakan segelintir rakyat Malaysia yang mengecam jurulatih kesayangannya.
Faizol Harun, jurulatih kepada atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli telah dikecam dan dituduh menjadi punca kepada pembatalan pingat emas dalam kejohanan berprestij itu. Namun Ziyad segera menjelaskan situasi sebenar pada malam semalam dan menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut.
Menurut Ziyad, jurulatihnya itu adalah orang yang paling banyak berjasa dan bukan beliau yang patut dipersalahkan. Perkara yang dialami oleh Faizol Harun menyebabkan beliau dilaporkan tidak dapat makan dan tidur dengan lena selepas insiden tersebut.
“Terus terang saya kata, dia sangat kecewa dan tak sangka perkara ini akan terjadi. Dia tak makan, tak tidur beberapa hari mengenang nasib yang menimpa kami ketika itu.”
Pemenang pingat emas paralimpik Rio 2016 ini turut menyatakan rasa pilunya melihat reaksi jurulatihnya itu dan amat berdukacita dengan tindakan melulu segelintir penyokong.
“Dia terfikir bagaimana ingin menjelaskan kepada Malaysia setibanya kami di KLIA nanti. Dia juga akan bertanggungjawab atas apa yang berlaku.”
Yang paling saya tak boleh terima apabila ada netizen yang mengejek fizikal jurulatih saya. Ada yang komen “Ha tulah gemuk, itu yang lambat datang.”
Faizol juga meluahkan perasaan beliau kepada Ziyad tentang kegusaran akibat tindakan penyokong terhadapnya.
“Yad kau tengok Yad, orang kecam aku.”
Komen tersebut adalah perkara yang paling tidak boleh diterimanya. Ketika mendengar luahan dari jurulatihnya itu, Ziyad berasa sangat sedih. Ziyad menganggap penghinaan sedemikian adalah tidak berasas sama sekali.
“Komen itu telah mengejek tubuh badan jurulatih saya dan orang tersebut telah menghina ciptaan Allah. Saya tak sangka sampai begini sekali pengaruh media sosial, nak ‘bantai’ jurulatih saya. Saya sangat sedih.”
Bagi Ziyad apa yang berlaku tempoh hari perlu dijadikan pedoman buat semua. Jangan sesekali menghina peribadi orang dan mengejek ciptaan tuhan.
Anak jati Selangor ini bagaimanapun menjelaskan pada hari kejadian mereka berdua memang berada tepat pada waktu yang telah ditetapkan. Beliau menasihatkan orang ramai supaya berhenti dalam menimbulkan provokasi.
“Saya ingin tegaskan, saya dan jurulatih saya tidak lambat. Jangan memfitnah dan sebarkan berita yang menimbulkan kekeliruan orang ramai. Saya dah ‘move on’ dan terus doakan yang terbaik.”