Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Baru-baru ini, pemain perseorangan utama negara Lee Zii Jia memilih untuk tidak lagi menggunakan khidmat jurulatih Indra Wijaya. Ini selepas pemain nombor dua dunia itu gagal layak ke Jelajah Dunia BWF yang berlangsung pada bulan ini.
Bagaimanapun, seorang legenda badminton negara berpandangan tanpa jurulatih sebagai pembimbing Zii Jia, pemain tersebut tidak akan maju seperti yang diharapkannya.
Bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj berpandangan sedemikian kerana bimbingan jurulatih mampu menaikkan lagi status kemajuan seseorang pemain. Tanpa kelibat jurulatih di sisi, kemajuan seseorang pemain akan terencat.
“Setiap pemain memerlukan seorang jurulatih…malah Datuk Lee Chong Wei yang hebat juga mempunyai jurulatih. Seorang jurulatih penting demi kemajuan prestasi seseorang pemain. Jurulatih tersebut berperanan menganalisis kekuatan dan kelemahan seseorang pemain sebelum memberi bimbingan sepatutnya agar si pemain berjaya di gelanggang. Tanpa jurulatih, si pemain akan hanyut,” katanya semasa ditemubual portal The Vibes.
Tambah bekas pemenang pingat gangsa Sukan SEA Kuala Lumpur 1977 itu, beliau ingin melihat bagaimana Zii Jia menangani tekanan dalam pertandingan kompetitif tanpa kehadiran jurulatih. “Macam mana dia akan bermain nanti? Saya harap dia tahu apa yang dia lakukan kerana dia seorang pemain yang baik dan hebat kerana berupaya menewaskan beberapa pemain terbaik di dunia,” ujarnya.
Difahamkan Zii Jia telah menerima tawaran BAM untuk berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM) dan memanfaatkan kemudahan yang disediakan di situ. Ia merupakan sebahagian daripada pengumuman BAM baru-baru ini membenarkan pemain-pemain profesional menghadiri sesi perlawanan mingguan di ABM. BAM percaya menerusi inisiatif ini, ia bukan saja bersifat menang-menang kepada pemain tetapi menambah ketajaman kontinjen badminton negara.
Zii Jia juga bakal bertolak ke Taiwan untuk sesi latihan di sana bermula Isnin ini hingga 25 Disember. Walau apa saja tindakan pemain nombor dua dunia selepas ini, peminat badminton negara berharap dia dapat bangkit semula dan menjadikan tahun 2023 sebagai tahun kecemerlangannya.