Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia tidak mahu sekali lagi melepaskan peluang keemasan apabila memulakan kempen Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 menentang Singapura, Rabu ini.
Juara bertahan All England ini juga berharap kemenangan ke atas Kean Yew turut dapat meningkatkan keyakinannya untuk memulakan musim dengan lebih baik.
Ini susulan aksi yang kurang memuaskan selain beberapa siri kecederaan turut merencatkan musim selepas keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) baru-baru ini.
Tambahnya lagi, ini merupakan pentas terbaiknya untuk mendapatkan semula rentak seterusnya memberikan yang terbaik buat Malaysia.
‘Sudah tentu saya mahu membalas dendam, dia pun lawan untuk pertahankan kemenangan. Jadi saya rasa kita dua-dua pun tak mahu kalah kali ini. Pada perlawanan sebelum ini, saya cedera, tetapi sejujurnya, dia main bagus hari itu, kalau tak cedera pun, saya pun tak berapa yakin boleh menang.’
‘Sekarang nampak dia punya permainan lebih mantap dan semakin matang. Kemenangan ke atas beliau amat penting untuk tingkat keyakinan,’ -kata pemain berusia 23 tahun itu kepada pemberita.
Berdasarkan rekod pertemuannya, Zii Jia menewaskan Kean Yew pada Cabaran Antarabangsa Smiling Fish 2016 dan Terbuka Fuzhou China 2019, namun gagal mengatasi lawannya sejak zaman remaja pada Terbuka Perancis 2021 dan final Terbuka Hylo 2021 di Jerman, apabila terpaksa menarik diri akibat kecederaan.
Skuad negara kali ini turut dibarisi pemain perseorangan Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao dan Lim Chong King, manakala pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengetuai gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun dalam aksi beregu.