Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Penyerang pasukan Negeri Sembilan FC, Zaquan Adha Abd Razak melaungkan keyakinan bahawa pasukan beliau akan terus memberikan aksi yang terbaik menjelang kejohanan Piala Malaysia yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Pemain berusia 34 tahun itu dalam satu temubual sejurus selepas perlawanan menentang PDRM FC telah mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak terutamanya rakan sepasukan setelah mengharungi musim yang penuh mencabar sebelum berjaya mengesahkan kejuaraan Liga Premier musim ini.
Beliau menambah, kerjasama sebagai satu pasukan selain mengenali antara satu sama lain menjadi tunjang kepada keberhasilan taktikal pasukan K. Devan di atas padang.
‘Hanya kita sahaja yang tahu apa yang telah dilalui dari awal dahulu sampailah sekarang.’
Kapten pasukan ini menegaskan bahawa perjalanan pasukan masih jauh sungguhpun berjaya mengecapi satu trofi pada musim ini kerana masih ada perlawanan yang mendatang buat pasukannya.
Sambil itu, kemenangan ini pastinya menjadi detik kebangkitan yang terbaik bagi Negeri Sembilan mengekalkan konsistensi dalam Piala Malaysia dan terus menegaskan bahawa pasukannya akan memberikan segalanya untuk meraih kemenagan.
‘Kita akan cuba buat yang terbaik sebab kita tahu bukan mudah untuk beraksi dalam Piala Malaysia,’-Jelas beliau kepada Astro Arena.
Ketika ditanya adakah pasukan Negeri Sembilan akan menjadi pasukan ‘Underdog’ untuk edisi kali ini, beliau yakin mereka lebih selesa dianggap begitu.
‘Kita akan sentiasa menjadi pasukan underdog dan jangan sangka air yang tenang tiada buaya,’ katanya sambil berseloroh.