Viktor Axelsen Menangis Kalah Kepada Ng Tze Yong

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Pusingan kedua Seluruh England 2023 menjadi saksi kejutan yang dilakar perseorangan kedua negara, Ng Tze Yong ke atas pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen. Kekalahan tersebut menjadikan Axelsen kelihatan beremosi dan menangis sebaik ditemubual wartawan selepas perlawanan.

Set pertama menyaksikan perseorangan utama Denmark itu tumbang 21-15 kepada anak jati Johor Bahru itu. Axelsen itu kemudiannya bangkit dan menewaskan Tze Yong 21-9 pada set kedua.

Set ketiga menyaksikan kedua-dua pemain bersaing sengit dengan pada satu ketika, kedua-duanya terikat 21-21. Bagaimanapun, Tze Yong berjaya menewaskan lawannya yang lebih ternama itu dengan keputusan 23-21.

Atas sebab itulah, Axelsen kelihatan emosi sebaik ditemubual media selepas perlawanan. Tetapi pada masa sama, beliau tetap mengucapkan tahniah kepada Tze Yong kerana menunjukkan permainan mantap sehingga berjaya mengalahkannya.

“Ya, anda mahu melakukan yang terbaik, bukan? Ya, sudah tentu. Saya berikan segala-galanya jadi sudah tentu saya beremosi.

“Saya mahu mengucapkan tahniah kepada Ng Tze Yong. Saya fikir dia menunjukkan permainan mantap. Saya mahu lakukan yang lebih baik tetapi hari ini, itu tidak berlaku,” katanya.

Terbuka Seluruh England dianggap kejohanan istimewa buat Axelsen kerana beliau berpeluang menjulang trofi kejohanan berprestij itu pada tahun lepas. Tetapi selepas tersingkir di pusingan kedua, beliau tidak akan berpeluang mempertahankan kejohanannya itu.

“Ia merupakan salah satu daripada kejohanan yang paling istimewa buat saya, ia juga yang terbesar dalam kalendar pertandingan jadi saya mahu melakukan yang terbaik. Tetapi bila anda gagal, ia sudah pasti amat sukar.

“Dia bermain dengan baik dan saya membuat terlalu banyak kesilapan. Tiada apa yang perlu diperkatakan. Hanya yang menang dan kalah sahaja. Hari ini, Ng Tze Yong berhak meraih kemenangan dan malangnya bagi saya, ia tidak cukup baik,” tambahnya.