Video Bukti: Sebenarnya Kad Merah Azam Azmi Tidak Sah

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Semalam, pasukan bola sepak Malaysia tewas 3-0 kepada Vietnam di Stadium Nasional My Dinh. Tetapi yang membuatkan ramai penyokong negara marah ialah tindakan pengadil Jepun, Ryuji Sato melayangkan kad merah kepada bek kanan Azam Azmi. Dan hari ini, ada bukti video yang menunjukkan bek kanan Terengganu itu tidak sepatutnya dibuang padang oleh Sato.

Jika benar ada kekasaran berlaku di luar padang, sudah pasti sepakan penalti akan diberi. Dan itu juga merupakan ilmu baru kepada para penyokong bahawa melakukan kekasaran di luar padang berhampiran kotak penalti bakal membawa kepada sepakan penalti.

Malangnya, ulang tayang insiden Azam Azmi dan bek kiri Vietnam, Doan Van Hau di televisyen gagal menceritakan perkara sebenar yang berlaku. Selepas beberapa jam, seorang pengguna TikTok yang tidak dikenali memuatnaik satu video berdurasi 19 saat yang memperlihatkan apa yang berlaku antara Azam dengan Van Hau.

Video tersebut jelas menunjukkan bek kanan negara itu cuba mengalihkan kakinya daripada dipegang bekas bek kiri FC Heerenveen itu. Sementara Van Hau pula dikatakan terbaring sambil berpura-pura mengaduh kesakitan – kesan yang didakwa berlaku akibat terjahan Azam.

Akibatnya, Sato bukan saja menganugerahkan sepakan penalti kepada Vietnam pada minit ke-64. Malah, dia turut bertindak melayangkan kad merah kepada Azam atas ‘terjahannya’ itu. Tindakan Sato menyebabkan kem Malaysia terkejut tetapi mereka tidak patah semangat dan berusaha mencari gol untuk merapatkan jurang.

Yang pasti, video insiden tersebut sedang dikaji oleh Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Satu laporan akan dibentangkan secepat mungkin sebelum satu surat rasmi dihantar kepada Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) pada Jumaat ini.

Sekiranya surat rasmi FAM termasuk laporan penilaian insiden tersebut diterima AFF, maka kad merah yang diterima Azam dalam perlawanan Vietnam-Malaysia boleh dibatalkan. Dan dia boleh beraksi dalam perlawanan Harimau Malaya seterusnya.