Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Terdapat beberapa nama yang boleh mengisi tempat dalam kalangan lima pemain terbaik yang beraksi di posisi pertahanan kiri Liga Super pada musim ini.
Ketika saingan berbaki 2 perlawanan sahaja secara amnya, prestasi para pemain sudah boleh dirumuskan berdasarkan persembahan mereka sepanjang musim ini.
Antara pertahanan kiri terbaik pada musim ini ialah Nazirul Naim Che Hashim. Sungguhpun pasukan Perak FC tidak mempunyai kempen yang baik di Liga Super pada musim ini, namun beliau masih mengekalkan konsistensi permainannya di atas padang.
Pemain berusia 28 tahun ini telah berjaya meraih 15 penampilan musim ini termasuk ketika tampil buat pasukan barunya iaitu Sabah FC.
Bekas pertahanan kiri pasukan kebangsaan ini telah berjaya menjaringkan satu gol dan mencipta satu bantuan gol.
Seterusnya, pertahanan kiri yang berjaya melakukan persembahan terbaiknya ialah Daniel Ting. Pertahanan kiri KL City FC ini mempunyai kebolehan untuk beraksi di pelbagai posisi di bahagian pertahanan.
Beliau juga memiliki kelebihan dari sudut fizikal selain menjadi watak penting dalam rentetan 10 perlawanan tanpa sebarang kekalahan oleh pasukan Bojan Hodak.
Pemain kacukan England-Malaysia ini juga kerap membantu jentera serangan The City Boys sekaligus menjadi watak penting pasukan.
Azwan Aripin merupakan bekas pemain pertahanan pasukan Kelantan yang kini menjadi nadi utama dalam sistem Tomas Trucha di Penang.
Beliau sedang menikmati musim terbaiknya apabila gandingan bersama Quentin Cheng dilihat berjaya memusnahkan kubu lawan.
Pertahanan pasukan Terengganu FC, Arif Fadzillah membuktikan bahawa usia bukan penghalang buat dirinya menyerlah. Pemain berusia 22 tahun ini menjadi pilihan utama Nafuzi Zain untuk mengetuai bahagian kiri padang.
Beliau juga kebal mengawal bahagian pertahanan sekaligus membantu pasukan memiliki rekod antara pertahanan terbaik di Liga Super.
Pertahanan kiri paling konsisten dalam saingan Liga Super sejak beberapa musim ialah La’vere Corbin-Ong. Pertahanan kiri JDT ini merupakan watak penting dalam kemenjadian pasukan yang merangkul tiga kejuaraan Liga Super berturut-turut di bawah Benjamin Mora.
Kini beliau menjadi taruhan oleh Tan Cheng Hoe dalam skuad kebangsaan sejak edisi Piala AFF Suzuki 2018.