Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Dalam satu temu bual di rancangan bola@mamak malam semalam, Tunku Ismail idris telah menegur dan menasihati semua rakyat Malaysia untuk mula berfikir dengan matang.
Jelas baginda, dalam apa jua keadaan, kita perlu berpandu pada fakta dan realistik. Ubah cara berfikir dari terjerumus dalam dunia persepsi. Baginda merasakan segelintir penyokong di Malaysia hari ini terlalu meletakkan harapan yang tinggi untuk bola sepak negara, sedangkan di peringkat akar umbi, kita masih memerlukan penambah baikan yang berlipat ganda.
Menurut pemilik kelab Johor Darul Ta’zim ini, kedudukan bola sepak Malaysia berbeza dengan negara-negara lain. Beliau menyifatkan sesetengah rakyat Malaysia ini sering bertindak mengikut emosi dan tidak berlandaskan fakta dan hanya membuta tuli apabila mengkritik.
“Kita kena cermin muka kita dan tahu kedudukan kita. Sedar realitinya berdasarkan fakta, selepas itu barulah boleh buat satu penilaian. Jangan buat penilaian buta-buta.”
TMJ turut mengulas berkaitan pembangunan pemain muda dalam negara. Menurut beliau, ia agak mustahil untuk kita tewaskan nama-nama negara yang besar kerana acuannya berbeza dengan kita. Mereka sudah lama mula membangunkan bola sepak melalui akademi, akan tetapi kita baru nak menapak dan prosesnya memakan masa.
“Awak nak kita tewaskan Kuwait, Arab Saudi? Boleh, bukan tak boleh tetapi ia lebih mencabar. Kita kena tunggu. Kita pun tiada akademi, setiap kelab bola sepak di Malaysia tiada akademi, JDT satu-satunya kelab yang ada.”
Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim menegaskan kita tidak boleh terlalu bergantung kepada Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari sahaja. Pentas-pentas kejohanan juga penting untuk proses membangunkan dan melahirkan lebih ramai pemain muda.
“Kita ada Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD). Tapi sampai bila kita nak harapkan AMD. Jadinya bila kita tidak ada kejohanan-kejohanan dalam pembangunan pemain muda, tidak guna juga.”