Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Selepas berjaya menjadikan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai antara pasukan bola sepak terbaik di Asia, Tunku Mahkota Johor (TMJ), DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim tidak menolak peluang memperkasakan bola sepak wanita menerusi pasukan bola sepak JDT.
Ketika ini, JDT mempunyai pasukan senior, remaja dan terbaru, pasukan futsal. Walaupun buat masa ini belum ada rancangan untuk menubuhkan pasukan bola sepak wanita, Tunku Ismail bersedia merealisasikan penubuhan pasukan tersebut dengan syarat bajet kelab bertambah baik.
“Ada juga. Macam contoh, kita pun tak ada pasukan futsal, baru ini kita ada pasukan futsal. Insya Allah, pada masa akan datang, apabila bajet kami lebih baik, kami akan ada pasukan bola sepak wanita juga,” titahnya dalam temubual eksklusif di segmen Bekpes Hot FM pagi tadi sebagai menjawab persoalan yang dikemukakan penyampai radio Farah Fauzana.
Kenyataan ini mencerminkan bukan saja betapa mendalamnya kecintaan TMJ terhadap dunia bola sepak. Malah, baginda juga dilihat terbuka dengan idea baru sekiranya ia dapat memartabatkan bola sepak negeri Johor dan negara amnya.
Ini juga merupakan satu berita baik kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) termasuk ketua jurulatih Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi. Tidak mustahil dengan sokongan figura berkaliber seperti TMJ, bola sepak wanita di negara ini dapat dibawa ke tahap yang lebih tinggi.