TMJ Keluar Duit Lebih RM12 Juta Tolong FAM & Bola Sepak Malaysia

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Pemilik JDT yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencabar mana-mana pihak agar memberi satu nama individu yang memberi lebih banyak sumbangan kepada sukan bola sepak negara daripada dirinya. Cabaran ini dilemparkan dalam satu catatan Instagram baginda semalam.

Cabaran ini timbul susulan dakwaan sesetengah pihak mempertikai sumbangan Tunku Ismail dan JDT kepada bola sepak tanah air. Selain itu, ada juga yang tidak berpuas hati dengan tindakannya mempertahankan 14 pemain JDT yang menolak panggilan skuad kebangsaan yang menyertai Piala AFF 2022.

Lantas, dalam catatan Instagramnya, Tunku Ismail menyenaraikan 10 sumbangan baginda dan JDT kepada bola sepak negara:

1. JDT menyumbang 16 mata AFC MA Ranking – lebih slot kepada pasukan-pasukan Liga Super ke peringkat Asia.

2. Membantu Malaysia mengutip 32.07 mata ranking FIFA sekaligus menukar kedudukan dari ke-154 kepada ke-146.

3. JDT meminjamkan pusat latihan kepada skuad kebangsaan dan meminjamkan Stadium Larkin dan Pasir Gudang untuk tujuan latihan dan perlawanan persahabatan pada tahun 2021.

4. Menaja RM1.4 juta untuk kos menanam rumput Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bermula Mac 2023.

5. Meminjamkan kanvas stadium untuk menjaga kualiti SNBJ sebelum perlawanan-perlawanan penting pasukan kebangsaan.

6. Memberi sebuah bas rasmi untuk kegunaan pasukan kebangsaan pada 2017.

7. Merombak dan mengecilkan saiz pentadbiran FAM bagi menjaga kewangan FAM.

8. Mengurangkan saman MP Silva terhadap FAM dari RM6.5 juta ke RM1.4 juta dan membayar RM1.4 juta menggunakan duitnya sendiri untuk menyelesaikan kes saman FAM itu.

9. Membelanjakan RM12 juta menggunakan wangnya sendiri untuk melupuskan hutang-hutang lapuk FAM dan menyuburkan program-program akar umbi FAM.

10. Menghantar jurulatih skuad kebangsaan ke Sepanyol untuk perkongsian profesional.

“Sekarang, saya cabar mana-mana pihak atau individu untuk memberi saya satu nama sesiapa yang telah memberi sumbangan yang lebih daripada saya kepada pasukan kebangsaan dan bolasepak tanah air.

“Termasuk pemimpin-pemimpin kelab anda. Patriotik? Action speaks louder than words“, ujar baginda.