Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Tindakan pantas Ketua St John Ambulance Malaysia (SJAM) Melaka Tengah memberi bantuan CPR kepada seorang pemain badminton semalam membantu menyelamatkan nyawanya. Insiden tersebut berlaku semasa perlawanan badminton di Durian Daun, Melaka semalam.
Menurut Kristil Tan Ai Teng, 55, pemain yang berusia 55 tahun itu diserang sakit jantung semasa perlawanan suku akhir acara regu Karnival Sukan Antara Staf Institut Pendidikan Guru (IPG) Malaysia
Beliau yang juga pengarah teknikal untuk acara tersebut mendengar jeritan meminta tolong di tepi gelanggang.
“Secara spontan saya meluru ke arah lelaki itu yang telah rebah dan dikatakan sebelum itu, dia meminta kebenaran untuk berehat sebentar lalu duduk bersandar di dinding.
“Saya dapati dia seperti terkena serangan jantung dan tanpa berlengah saya terus melakukan CPR sambil menyuruh pelajar yang juga sukarelawan bertugas mengambil alat AED (defibrilator luaran automatik) di dalam kereta saya,” katanya bila dihubungi media semalam.
Tan turut dibantu oleh seorang lagi staf IPG dari Ipoh untuk CPR. Setelah itu, beliau melakukan prosedur pertolongan cemas menggunakan alat AED ke atas pemain tersebut sementara menunggu ketibaan ambulans.
Pemain itu kemudiannya dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut. Difahamkan, dia kini berada dalam keadaan stabil.
Bagi Tan yang juga Pensyarah Unit Kokurikulum IPG Durian Daun, berita tersebut dianggap sesuatu yang melegakan. Pada masa sama, beliau turut melihat situasi ini betapa pentingnya mempunyai ilmu pertolongan cemas dalam kalangan masyarakat.
“Sehubungan itu, saya berpendapat masyarakat perlu mempunyai ilmu pertolongan cemas untuk membantu sesiapa sahaja yang berdepan keadaan sama,” tambahnya.