Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Dalam satu temu bual bersama Astro Arena semalam, bekas atlet angkat berat negara, Mohd Faiz Musa tidak bersetuju dengan keputusan yang bakal dibuat oleh Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) untuk membubarkan skuad angkat berat negara.
Sebelum ini, PABM dikatakan bakal membubarkan pasukan angkat berat negara disebabkan isu doping menular dalam kalangan atlet ketika ini. Mohd Faiz berpendapat ada beberapa solusi untuk menangani isu ini.
“Bagi pandangan saya kita perlu memberi ruang kepada muka-muka baru. Sebagai contoh, kita ada beberapa atlet di peringkat negeri untuk diberi peluang mengharumkan nama negara. Kita tidak mahu atlet yang sedia ada begitu selasa dan tidak merasa apa-apa saingan dalam pasukan.”
Menurut Faiz, dengan adanya saingan dalam kalangan atlet, ia akan mampu mengekang penularan kes doping ini. Beliau tidak mahu ada pihak dalam kalangan atlet angkat berat negara yang mengambil ringan isu doping ini.
“Kita tidak mahu atlet lama ini mengambil jalan pintas dengan menggunakan bahan-bahan yang terlarang.”
Bekas atlet angkat berat ini turut berpendapat jika PABM dibubarkan, kita akan mengalami kerugian yang besar dalam memburu pingat di sukan-sukan besar yang dipertandingkan.
“Jika PABM digantung sekali lagi, itu satu kerugian yang besar kerana atlet kita tidak dapat bersaing di temasya-temasya sukan seperti Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan Sea. Sejarah membuktikan Malaysia tidak pernah lagi terlepas pingat emas di Sukan Komanwel dari dulu hinggalah kini.”
Faiz berharap agar isu ini dapat diselesaikan segera dan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) tidak akan digantung oleh IWF daripada menyertai mana-mana kejohanan dalam acara angkat berat.