Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Selepas mencatat kemajuan memberangsangkan di peringkat antarabangsa, sukan bola jaring di Malaysia perlu dilonjakkan ke tahap yang lebih tinggi. Bagi mencapai matlamat tersebut, Persatuan Bola Jaring Malaysia (MNA) bakal melaksanakan Program Pembangunan Bola Jaring Kebangsaan (NNDP).
Menurut Presiden MNA, Alwiyah Talib, pelan pembangunan tersebut telah mendapat lampu hijau Majlis Sukan Negara (MSN) pada 8 Disember lalu. Menerusi NNDP, ia dapat membantu meningkatkan kualiti sukan bola jaring negara terutama bagi pasukan kebangsaan.
“Kami gembira dibenarkan mempunyai program pembangunan sendiri sama seperti sukan bola sepak, hoki, ragbi dan berbasikal. Kami melihat program ini sebagai satu pengiktirafan kepada sukan berkenaan.
“Kami telah mengiklankan jawatan-jawatan kosong yang penting untuk diisi di NNDP. Bila jawatan-jawatan ini telah diisi, kami boleh maju lagi jauh,” katanya.
Pasukan bola jaring negara pernah memenangi pingat emas acara Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur dan 2019 di Manila. Selain itu, mereka juga menggondol tempat ketiga dalam Kejohanan Bola Jaring Asia 2018 dan 2022 di belakang Sri Lanka dan Singapura.