Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Cabaran Malaysia dalam Terbuka Malaysia 2023 berakhir sudah hari ini. Ini selepas dua wakil negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (regu campuran) dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (regu lelaki) tewas kepada lawan masing-masing.
Gandingan Tang Jie-Ee Wei tahu mereka berdepan kesukaran untuk mara ke separuh akhir. Ini kerana lawan mereka bukan calang-calang iaitu regu campuran yang pernah bergelar juara dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.
Pada set pertama, kedua-dua regu bersaing sengit berebut mata tetapi Dechapol-Sapsiree berjaya menang dengan keputusan 21-19. Set kedua dilihat lebih mudah untuk regu Thailand itu dengan kemenangan 21-9.
Nasib sama turut menimpa pilihan kelapan kejohanan, Yew Sin-Ee Yi. Berdepan pilihan ketiga dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, pada awalnya regu profesional negara itu mudah mendominasi set pertama 21-14.
Tetapi Alfian-Muhammad Rian mula bermain secara agresif pada set kedua dan berjaya menang dengan keputusan 21-16. Rentak tersebut diteruskan pada set ketiga dengan Yew Sin-Ee Yi tunduk 21-17.