Terbuka Malaysia 2023: Aaron Chia & Wooi Yik Iringi 4 Wakil Malaysia Ke Pusingan Kedua

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Hari ini, lima lagi wakil Malaysia meneruskan kemaraan ke pusingan kedua Terbuka Malaysia 2023 diketuai pasangan regu Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Goh Jin Wei menceriakan kem negara dengan mengatasi cabaran Yvonne Li dari Jerman dalam perlawanan pusingan pertama perseorang wanita. Dia menewaskan lawannya itu dalam tempoh 39 minit dengan keputusan 21-11, 21-18.

Perlawanan regu wanita pula menyaksikan dua regu wanita negara beradu sesama sendiri di pusingan pertama. Go Pei Kee-Teoh Mei Xing mencipta kejutan dengan menewaskan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien dalam tempoh 35 minit dengan keputusan 21-13, 21-13.

Aksi sama turut dilihat dalam pusingan pertama regu campuran membabitkan Chen Tang Jie-Goh Ee Wei dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing. Walaupun gandingan Tang Jie-Ee Wei masih hijau jika dibandingkan dengan Kian Meng-Pei Jing, mereka tidak menghadapi masalah menyingkirkan regu berpengalaman itu dengan keputusan 21-15, 21-10.

Bagaimanapun, kecemerlangan tersebut tidak dapat diteruskan oleh regu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying. Berdepan regu Indonesia Rehan Naufal Kushanjarto-Lisa Ayu Kusumawati, regu berpengalaman itu mengheret perlawanan ke tiga set sebelum tewas 18-21, 21-15, 21-7.

Sementara itu, juara dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa bekerja keras sebelum menyingkirkan regu lelaki Taiwan, Lee Jhe-huei-Yang Po-hsuan. Tewas 16-21 pada set pertama, Aaron-Wooi Yik bangkit dan memenangi dua set berikutnya 21-15, 21-16.

Perseorangan lelaki muda Ng Tze Yong mudah mara ke pusingan kedua selepas mengenepikan Nhat Nguyen dari Ireland. Tze Yong menewaskan lawannya dalam tempoh 35 dengan keputusan 21-4, 21-10.

Aksi regu lelaki menyaksikan Goh Sze Fei- Nur Izzuddin terpaksa tunduk kepada regu China, Liang Wei Keng-Wang Chang. Menang pada set pertama dengan keputusan 21-16, Wei Keng-Wang Cheng kemudiannya berjaya mengejar sebelum menundukkan mereka dengan keputusan 21-11, 21-17.

Lee Zii Jia bagaimanapun tidak dapat menyertai wakil negara di pusingan seterusnya. Ini selepas Zii Jia tewas mengejut kepada pemain meningkat naik dari Jepun, Kodai Naraoka dengan keputusan 13-21, 21-17, 21-19.