Terbuka Jerman 2023: Lee Zii Jia Lesu, Kalah Lagi Kepada Lee Chia-hao

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Lee Zii Jia terus bergelut dengan prestasi buruk yang menyelubunginya sejak beberapa bulan lepas. Terbaru, Zii Jia terkandas di pusingan kedua Terbuka Jerman 2023 selepas tewas kepada pemain Taiwan, Lee Chia-hao.

Set pertama menyaksikan Zii Jia yang juga pilihan utama kejohanan mudah menewaskan Chia-hao dengan keputusan 21-15.

Tetapi di set kedua, beberapa kesilapan mudah menyebabkan Chia-hao dan Zii Jia bersaing sengit dengan perlawanan ditentukan menerusi dius. Pada akhirnya, pemain Taiwan itu berjaya memenangi set kedua dengan keputusan 22-20.

Set ketiga menyaksikan Zii Jia pada satu ketika ketinggalan 14-19 kepada Chia-hao. Tetapi dia berjaya mengejar dan mengikat kedudukan kepada 20-20.

Selepas memperoleh keputusan 21-20, ramai penyokong Malaysia menyangka kemenangan sudah berada dalam genggaman Zii Jia. Sebaliknya, Chia Hao bangkit dan memastikan kemenangan set ketiga menjadi miliknya dengan keputusan 23-21.

Dengan kekalahan terbaru ini, Zii Jia perlu menilai semula keputusan bertanding di kejohanan antarabangsa tanpa jurulatih khas selepas berpisah dengan jurulatih Indra Wijaya. Walaupun dia kini berlatih bersama pemain perseorangan veteran, Liew Daren, ia masih lagi tidak cukup.

Sudah tiba masanya Zii Jia mencari pengganti Indra kerana ia mungkin satu-satunya cara mengekang kemerosotannya daripada terus berlarutan. Seterusnya, memastikan dia layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.