Terbuka Indonesia: Aaron-Wooi Yik Kempunan Gelaran Juara

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Hasrat regu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menggondol gelaran juara Terbuka Indonesia tidak kesampaian hari ini. Ini selepas mereka dikecewakan regu India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetyy dalam aksi final.

Dengan kedua-duanya masing-masing berstatus pilihan kedua dan ketujuh kejohanan, ramai menjangkakan aksi final acara regu lelaki sebagai sengit.

Set pertama menyaksikan kedua-dua regu bersaing sengit untuk mendapatkan mata. Tetapi beberapa kesilapan yang dilakukan Aaron-Wooi Yik membolehkan Satwiksairaj-Chirag meraih kemenangan set pertama 21-17.

Set kedua menyaksikan Aaron-Wooi Yik cuba mencipta kebangkitan. Tetapi biarpun diberi tentangan hebat oleh regu negara, Satwiksairaj-Chirag meraih kemenangan bergaya di set kedua dengan keputusan 21-18.

Biarpun tewas, ramai merasa bangga dengan semangat juang yang ditampilkan juara dunia acara regu lelaki itu sepanjang Terbuka Indonesia. Justeru, ramai mengharapkan Aaron-Wooi Yik mengekalkan kecemerlangan ini agar dapat layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.