Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Hasrat kem badminton Malaysia melihat dua wakil negara beraksi di final Terbuka India tidak kesampaian. Ini selepas Aaron Chia-Soh Wooi Yik sahaja yang berjaya mara dengan Pearly Tan-M. Thinaah terkandas di peringkat separuh akhir.
Pearly-Thinaah tahu mereka bakal berdepan tugas sukar menentang pilihan kedua kejohanan, Nami Matsuyama-Chiharu Shida. Tetapi regu wanita utama negara itu berusaha memberi yang terbaik dalam perlawanan separuh akhir regu wanita.
Set pertama menyaksikan Pearly-Thinaah tewas 21-14 kepada Matsuyama-Shida. Walaupun cuba melawan di set kedua, regu Jepun itu mara ke final dengan keputusan 21-16.
Kem badminton negara yang muram bagaimanapun kembali ceria apabila regu lelaki berstatus juara dunia, Aaron-Wooi Yik berjaya mengatasi pilihan kedua kejohanan, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.
Tewas 21-11 pada set pertama, Aaron-Wooi Yik kembali bangkit dan memenangi dua set seterusnya dengan keputusan 21-15, 21-16.
Dengan kemenangan ini, regu berstatus pilihan ketiga kejohanan itu menanti pemenang perlawanan separuh akhir antara Seo Seung-jae-Kang Min-hyuk (Korea Selatan) dengan Liang Wei Keng-Wang Cheng di pentas final.