Terbuka India: Gandingan Aaron-Wooi Yik & Pearly-Thinaah Ke Separuh Akhir

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Hari ini, dua wakil negara berjaya mara ke peringkat separuh akhir Terbuka India. Mereka ialah regu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan regu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah.

Regu wanita terlebih dahulu menceriakan kem badminton Malaysia apabila berjaya mengatasi cabaran regu wanita Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi. Mendahului jauh dengan 7-1, mereka berjaya menang set pertama 21-13.

Set kedua menyaksikan Pearly-Thinaah tampak sukar dicabar oleh regu Jepun itu. Gandingan Pearly-Thinaah mengungguli set kedua dengan keputusan sama 21-13.

Saingan suku akhir regu lelaki menyaksikan dua regu negara bersaing sesama sendiri iaitu Aaron-Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Aaron-Wooi Yik mendahului selesa 11-3 dalam set pertama. Walaupun cuba dikejar regu profesional negara itu, Yew Sin-Ee Yi terpaksa tunduk kepada juara dunia dalam set pertama dengan keputusan 21-17.

Set kedua kelihatan lebih mudah buat Aaron-Wooi Yik apabila berjaya mengatasi Yew Sin-Ee Yi 21-11.

Aaron-Wooi Yik bakal menanti pemenang suku akhir antara pilihan kedua kejohanan, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dengan regu Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel.

Manakala Pearly-Thinaah pula menanti pemenang suku akhir antara regu Thailand Benyapa dan Nuntakarn Aimsaard dengan pilihan kedua regu wanita dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.