Terbuka India: Aaron-Wooi Yik Ketuai Kemaraan Wakil Negara Ke Suku Akhir

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Pusingan kedua Terbuka India hari ini menyaksikan tiga wakil negara berjaya mara ke suku akhir. Ini termasuk regu berstatus juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Kem badminton Malaysia ceria apabila Aaron-Wooi Yik berjaya mengatasi lawan sama di pusingan pertama Terbuka Malaysia, Lee Jhe-huey-Yang Po-hsuan dari Taiwan. Kecundang 15-21 di set pertama, juara dunia pertama negara itu bangkit dan menang dua lagi set 21-19, 21-19.

Kecemerlangan mereka diteruskan oleh pilihan kelapan kejohanan, Pearly Tan-M. Thinaah. Regu wanita utama negara itu menebus kehampaan kecundang di pusingan awal Terbuka Malaysia dengan menewaskan regu Taiwan, Lee Chia-hsin-Teng Chun-hsun 21-14, 16-21, 21-6.

Regu lelaki profesional yang juga pilihan ketujuh, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pula terpaksa bekerja keras sebelum berjaya mengatasi regu Thailand, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren. Yew Sin-Ee Yi menang dengan keputusan 21-16, 13-21, 21-19.

Hanya dua perlawanan yang tinggal untuk wakil negara hari ini iaitu perseorangan lelaki utama Lee Zii Jia dan regu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei. Jika kedua-duanya berjaya memenangi perlawanan mereka, maka lima wakil negara bakal berentap di peringkat suku akhir.