Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Regu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah bangkit dan mengalahkan regu Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai untuk mara ke separuh akhir Terbuka Hong Kong.
Dengan kedudukan ranking mereka hanya dipisahkan empat tempat, di atas kertas, kelebihan memihak kepada regu wanita Negara Gajah Putih itu. Begitupun, dari segi rekod pertemuan, kelebihan lebih menyebelahi regu negara.
Ini memberi keyakinan Pearly-Thinaah untuk memberi saingan dalam set pertama. Malah, pada satu ketika mereka berjaya mengikat Jongkolphan-Rawinda 10-10.
Bagaimanapun, regu Thailand itu berjaya bangkit dengan mendahului pada kedudukan 17-13 sebelum memenangi set pertama dengan keputusan 21-15.
Set kedua menyaksikan kedua-dua regu bersaing sengit mendapatkan mata. Malah, pada satu ketika kedua-duanya terikat 13-13.
Pada akhirnya, Pearly-Thinaah berjaya mengatasi cabaran Jongkolphan-Rawinda bagi meraih kemenangan set kedua dengan keputusan 21-14. Ini sekaligus mengheret perlawanan ke rubber set.
Set ketiga menyaksikan kedua-dua regu saling mengejar mendapatkan mata. Pada akhirnya, regu wanita negara berjaya meraih kemenangan 21-19.
Pearly-Thinaah kini menunggu pemenang aksi suku akhir membabitkan pilihan utama kejohanan, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dan regu Thailand, Benyapa dan Nuntakarn Aimsaard.
Tidak kira siapa lawan mereka di pentas separuh akhir, Pearly dan Thinaah perlu bekerja keras jika mahu mara ke final.