Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Perseorangan utama negara Lee Zii Jia seakan sukar mengatasi badi tersingkir di pusingan awal kejohanan apabila tersingkir di pusingan kedua Terbuka Hong Kong.
Kali ini, Zii Jia tunduk kepada pemain perseorangan Taiwan, Lee Chia-hao. Kedua-duanya mempunyai satu kemenangan dalam dua pertemuan sebelum ini.
Set pertama menyaksikan persaingan sengit antara kedua-dua pemain. Bagaimanapun, Zii Jia berupaya mengatasi Chia-hao dengan keputusan 21-19.
Set kedua menyaksikan beberapa kesilapan dilakukan oleh anak jati Alor Setar, Kedah itu. Ini memberi ruang kepada Chia-hao untuk bangkit dan memenangi set kedua dengan kemenangan 21-17.
Ini memaksa perlawanan diheret ke rubber set dengan satu ketika, kedua-duanya terikat pada kedudukan 20-20. Bagaimanapun, Chia-hao memastikan cabarannya di Terbuka Hong Kong masih membara dengan kemenangan 22-20.
Pemain Taiwan itu kini menunggu keputusan perlawanan membabitkan Jonathan Christie (Indonesia) dan Lee Cheuk Yiu (Hong Kong) dalam satu lagi aksi pusingan kedua.
Bagi Zii Jia pula, kemerosotan prestasi ini perlu diatasi segera sekiranya mahu meraih pingat dalam temasya Sukan Asia 2023 di Hangzhou, China yang bermula pada minggu hadapan.