Terbuka China: Detik Manis Aaron Chia-Wooi Yik Berterusan, Tewaskan Yew Sin-Ee Yi

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Beregu lelaki utama Malaysia,Aaron Chia dan Soh Wooi Yik terpaksa berhempas pulas menewaskan rakan senegara, Ong Yew Sin-Teoh Ee Yi sebelum mara ke separuh akhir Terbuka China 2023.

Kedua-dua regu lelaki negara tahu tidak kira siapa yang menang hari ini, mereka akan mengiringi dua regu campuran iaitu Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing ke separuh akhir esok.

Set pertama menyaksikan Aaron-Wooi Yik dan Yew Sin-Ee Yi saling mengejar mata. Begitupun, beberapa kesilapan yang dilakukan juara dunia 2022 itu menyaksikan mereka tumpas 21-19.

Set kedua menyaksikan pada satu ketika, Aaron-Wooi Yik ketinggalan jauh pada kedudukan 6-2. Bagaimanapun, regu berstatus pilihan keempat kejohanan itu berjaya mengejar dan meninggalkan Yew Sin-Ee Yi pada kedudukan 18-13.

Biarpun regu profesional Malaysia itu cuba mengejar, Aaron-Wooi Yik memastikan kemenangan set kedua 21-19. Ini memaksa perlawanan dibawa ke rubber set bagi menentukan pemenang.

Semangat juang kedua-dua regu terus membara pada set ketiga. Biarpun Yew Sin-Ee Yi cuba memberi tentangan, Aaron-Wooi Yik tenang mengawal set ketiga sebelum meraih kemenangan 21-11.

Kemenangan ini menyaksikan Aaron-Wooi Yik menanti pemenang antara regu Korea Selatan, Seo Seung-jae-Kang Min-hyuk dan regu Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dalam satu lagi aksi separuh akhir.