Terbuka China: Aaron Chia-Wooi Yik Mara Ke Final Tumbangkan Regu Korea Selatan

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Regu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya mengatasi regu Korea Selatan, Seo Seung-jae dan Kang Min-hyuk di pentas separuh akhir Terbuka China 2023.

Selepas tewas kepada regu sama di pentas separuh akhir Kejohanan Dunia BWF 2023, Aaron-Wooi Yik berharap dapat menjadikan perlawanan ini sebagai medan membalas dendam.

Set pertama menyaksikan pada satu ketika, regu utama Malaysia itu mendahului dengan 10-8. Biarpun Seung-jae-Min-hyuk cuba mengejar pada kedudukan 18-13, Aaron-Wooi Yik memastikan kemenangan set pertama dengan keputusan 21-18.

Set kedua menyaksikan Aaron-Wooi Yik meraih pendahuluan awal dengan 7-3. Begitupun, Seung-jae dan Min-hyuk berjaya mengejar sebelum mendahului 13-11.

Kebangkitan regu lelaki Korea Selatan itu berjaya dihalang Aaron-Wooi Yik dengan juara dunia 2022 memastikan kemenangan set kedua 21-17.

Kini, satu-satunya halangan buat regu negara itu untuk menjulang kejuaraan pertama untuk tahun 2023 ialah regu lelaki tuan rumah, Liang Wei Keng-Wang Chang.

Regu China ini mara ke final selepas mengatasi pilihan kelima kejohanan, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.