Terbuka China: Aaron Chia & Wooi Yik Muncul Naib Juara, Tewas Kepada Regu China

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Regu lelaki utama Malaysia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik terpaksa akur dengan keunggulan regu lelaki China, Liang Weikeng-Wang Chang pada aksi final Terbuka China 2023. Ini sekaligus menyaksikan mereka bergelar naib juara Terbuka China 2023.

Selepas berjaya mengatasi juara dunia 2023 dari Korea Selatan, Seo Seung-jae dan Kang Min-hyuk di pentas separuh akhir semalam, bekas juara dunia 2022 itu berharap dapat mengulangi kecemerlangan pada aksi final.

Malangnya, set pertama menyaksikan Weikeng-Chang mendominasi Aaron-Wooi Yik. Regu China itu berupaya mematikan setiap servis regu negara dan mendahului dengan selesa pada kedudukan 18-7.

Biarpun Aaron-Wooi Yik cuba mengejar, Weikeng-Chang memastikan set pertama dalam genggaman dengan keputusan 21-12.

Kisah sama berulang dalam set kedua. Pada satu ketika, regu tuan rumah meninggalkan Aaron-Wooi Yik dengan jurang mata yang jauh pada kedudukan 9-2.

Jurang mata yang jauh ditambah sokongan penyokong tempatan sudah cukup buat Weikeng-Chang meraih kemenangan set kedua 21-14.

Biarpun kempunan meraih gelaran pertama BWF untuk tahun 2023, kejayaan mara ke final dilihat mampu membakar semangat Aaron-Wooi Yik untuk tampi lebih bagus dalam Sukan Asia 2023 di Hangzhou.