Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Baru-baru ini, Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan diberi penghormatan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kerana terpilih dalam Badminton Hall of Fame BWF. Bagaimanapun, ia mengundang komen pedas daripada legenda badminton Indonesia, Taufik Hidayat dalam satu video tular di media sosial.
Dalam video tersebut, Taufik mempersoal apa kriteria yang membolehkan Chong Wei tersenarai dalam Hall of Fame. Malah, bekas pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2004 itu turut mendakwa wujud unsur bias memandangkan BWF mempunyai ibu pejabat di Malaysia.
“Dalam pertandingan, yang diambil kira siapa yang juara bukan ditentukan siapa paling lama (konsisten). Bukan juga ditentukan siapa paling lama berada di tempat pertama.
“Kalau kamu menang 10 kali perak dan hanya satu kali emas, kamu akan pilih yang mana?,” katanya dalam satu rancangan bual bicara Indonesia.
Sejak itu, ia menimbulkan kemarahan pengguna media sosial baik di Malaysia mahupun di Indonesia. Bagi Chong Wei pula, komen legenda badminton Indonesia amat mengejutkan dirinya.
“Bukan saya yang minta BWF senaraikan saya dan bukan saya yang tulis surat kepada BWF, saya sendiri sebelum ini tidak tahu pemilihan ini.
“Mungkin ada syarat-syarat untuk pilih siapa yang dapat, dan ada juga pemain Malaysia juga menerima Hall of Fame yang tidak pernah memenangi (pingat emas) Olimpik.
“Taufik patut tanya BWF, tulis surat atau e-mel, tanya kenapa anugerah diberi kepada saya dan bukan dia, mungkin dia tak gembira sebab tak dapat,” katanya bila dihubungi media pada Jumaat.
Pada 26 Mei lepas, Chong Wei, 41, dan Lin Dan dipilih BWF untuk dimasyhurkan dalam Badminton Hall of Fame BWF susulan pencapaian mereka dalam dunia badminton.
Chong Wei dipilih kerana memegang rekod pemain nombor satu dunia paling lama dengan 349 minggu. Beliau juga pernah memenangi pingat perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali dan naib juara Kejohanan Dunia sebanyak tiga kali.