Tan Bin Shen Harap Aaron & Wooi Yik Jadi Lebih Berani

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Terbuka India yang berakhir pada Ahad lepas menyaksikan Aaron Chia-Soh Wooi Yik kecewa selepas hanya bergelar naib juara acara regu lelaki kejohanan tersebut. Tetapi bagi jurulatih regu lelaki kebangsaan, Tan Bin Shen, mereka boleh bergelar juara dengan syarat mereka harus lebih berani atas gelanggang.

Perlawanan final Terbuka India menyaksikan Aaron-Wooi Yik berjaya meraih set pertama dan seketika mendahului pada set ketiga. Tetapi pada akhirnya, duo berstatus juara dunia itu tewas kepada Liang Wei Keng-Wang Chang dari China dengan keputusan 14-21, 21-19, 21-18.

Walaupun berstatus juara dunia dan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik, Aaron-Wooi Yik masih lagi belum merasa gelaran kejohanan jelajah BWF. Tetapi bagi Bin Shen, selagi mana mereka mempunyai keyakinan dan belajar daripada kesilapan terdahulu, mereka boleh bergelar juara.

“Saya fikir kekalahan ini sebahagian daripada proses. Kita perlu belajar bagaimana mengendalikan situasi seperti itu. Itu merupakan satu pengajaran yang amat berguna.

“Mereka akan bermain dalam banyak kejohanan tahun ini jadi mereka perlu menyediakan diri mereka dari segi mental. Situasi sebegini akan berlaku lagi jadi mereka perlu tahu bagaimana cara mengendalikannya.

“Mereka perlu lebih berani, yakin kepada diri mereka dan bersedia berhadapan dengan cabaran baru. Saya fikir satu hari nanti, kejayaan (menjulang kejohanan jelajah BWF) akan tiba juga,” katanya.