Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Selepas menunjukkan keupayaannya sebagai negara tuan rumah Piala Dunia 2022, Qatar tidak mahu berhenti di situ saja. Qatar dikhabarkan mahu membida hak tuan rumah Sukan Olimpik 2036 dan berhasrat menganjurkan temasya berprestij itu pada musim luruh tahun tersebut.
Sebelum ini, Qatar pernah membida hak tuan rumah Sukan Olimpik 2016, 2020 dan 2024. Bagaimanapun, semua usaha bidaan mereka berakhir dengan kegagalan dengan Rio de Janeiro (Brazil), Tokyo (Jepun) dan Paris (Perancis). Antara sebab bidaan Qatar ditolak ialah Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) merasakan negara sekecil Qatar tidak berupaya menganjurkan temasya yang menempatkan lebih 10,500 atlet dari 32 disiplin sukan dan jutaan penonton.
Di sebalik pelbagai kontroversi yang menyelubungi Piala Dunia 2022, ramai pemerhati melihat negara itu telah membuktikan keupayaannya sebagai penganjur temasya besar. Buat masa ini, Qatar lebih suka membida bersendirian sebagai tuan rumah. Tetapi sudah ada khabar angin sesetengah ahli IOC mahukan bidaan tuan rumah bersama membabitkan Qatar dan Arab Saudi.
Disebabkan suhu panas Qatar pada musim panas, Sukan Olimpik dijangka dianjurkan pada musim luruh. Ini bukan kali pertama temasya berprestij itu dibuat di luar musim panas dengan Sukan Olimpik 1964 di Tokyo diadakan pada bulan Oktober. Manakala Sukan Olimpik 1988 di Seoul, Korea Selatan dan edisi 2000 di Sydney, Australia pula diadakan pada awal September.
Di sebalik keyakinan Qatar, terdapat beberapa halangan yang perlu diatasi jika mahu meraih hak penganjuran Sukan Olimpik. Salah satu daripadanya ialah menyakinkan Presiden IOC, Thomas Bach bahawa negara itu telah bersedia sebagai penganjur. Tetapi dengan Bach dijangka berundur pada 2025, setahun sebelum hak tuan rumah diputuskan kepada siapa, peluang mereka mendapatkan hak tuan rumah berkemungkinan lebih cerah.
Selain Qatar, Indonesia, India dan Turki turut menunjukkan minat menjadi tuan rumah. Turki berkemungkinan bakal menjadi pesaing Qatar kerana negara itu turut beraspirasi menjadi tuan rumah kejohanan EURO. Tetapi dengan EURO 2024 sah dianjurkan oleh Jerman dengan negara-negara Home Nation sebagai pilihan utama tuan rumah EURO 2028, Turki pastinya mencari alternatif temasya berprestij dianjurkan di negara mereka.