Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Semalam, kecoh industri sukan negara apabila Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim mendakwa rasuah punca sukan di Malaysia sukar maju. Walaupun kenyataan tersebut dibantah oleh pertubuhan-pertubuhan sukan, hari ini SPRM mengakui wujud elemen rasuah dalam industri sukan negara.
Kenyataan tersebut dibuat oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor semasa ditemubual media selepas tamat Program Antirasuah Pengurusan Bantuan Dana Kerajaan Kepada Badan Sukan 2022 (Bantuan Pengurusan dan Program) di Putrajaya semalam.
Kebiasaannya, gejala rasuah dalam industri sukan negara dikesan pada aktiviti seperti pengumpulan dan pengurusan dana. “Bagi mereka yang tamak atau (hendak) cara mudah dapatkan duit, (ini menyebabkan) tujuan dana tu tidak sampai kepada golongan sasaran.
“Apa yang penting di sini antara hasilnya ialah ada yang timbalan pendakwa raya bersetuju bawa ke mahkamah tetapi yang banyaknya ialah terdapat kelemahan-kelemahan dalam tadbir urus persatuan-persatuan sukan berkenaan,” ujar Razim.
Bagi mengelak gejala ini daripada terus berlaku, pertubuhan-pertubuhan sukan perlu memantapkan sistem dan urus tadbir mereka. Dan pihak SPRM bersedia membantu dan memberi kerjasama kepada mana-mana pertubuhan sukan yang mahu memantapkan dua aspek yang dinyatakan.
“Antara tugas SPRM ialah menasihati mana-mana pihak untuk memperkemaskan sistem dan prosedur mereka bagi menutup ruang dan peluang daripada berlakunya kejadian rasuah,” tambahnya.
Sementara itu, Razim menerusi ucapannya dalam Program Antirasuah Pengurusan Bantuan Dana Kerajaan Kepada Badan Sukan 2022 (Bantuan Pengurusan dan Program) mengingatkan tindakan tegas akan diambil sekiranya berlaku jenayah rasuah termasuk penyelewengan dan salah guna kuasa yang dilakukan oleh mana-mana pihak dalam pentadbiran badan sukan negara.
“Saya ingin mengingatkan kepada semua badan sukan agar tidak melindungi mana-mana ahli yang dikesan terlibat dengan jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa tidak kira sama ada kecil atau besar jumlahnya serta tidak kira juga sama ada yang terlibat itu adalah kepimpinan tertinggi mahupun ahli-ahli badan sukan,” ujarnya lagi.