Soleen Al-Zoubi Panggil 43 Pemain Wanita Kebangsaan

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Jurulatih pasukan bola sepak wanita kebangsaan, Soleen Al-Zoubi mula sibuk merencana ramuan terbaik untuk melonjakkan mereka ke peringkat antarabangsa. Bagi merealisasikan usaha itu, 43 orang pemain wanita menyertai sesi percubaan dan pemilihan pemain bagi skuad bola sepak wanita B-20 kebangsaan bermula semalam.

Sesi percubaan dan pemilihan pemain bagi skuad bola sepak wanita B-20 kebangsaan dijangka berlangsung sehingga Jumaat ini.

Kebanyakan pemain ini dipilih berdasarkan permerhatian Soleen pada Festival Bola Sepak Wanita Wilayah FAM yang meliputi pelbagai negeri di Malaysia.

Sesi pemilihan dibuat awal bagi membolehkan jurulatih berdarah Jordan itu membina pasukan wanita negara bawah 20 tahun yang terbaik bagi menghadapi pusingan Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2024 di Kemboja.

Pusingan Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2024 itu bakal diadakan sekitar Mac ini. Dengan tempoh persiapan dua bulan dari sekarang, Soleen pastinya mahu Harimau Malaya tampil garang dan bukan sekadar pelengkap pasukan.

Sepanjang sesi pemilihan, barisan pemain yang dipilih perlu menjalani pelbagai ujian kecergasan, ujian kepantasan dan kekuatan selain latihan intensif atas padang.

Soleen yang memantau sesi semalam turut dibantu oleh Ketua Unit Prestasi Tinggi FAM, Reuben Jude Balraj.