Soleen Al-Zoubi Kagum Dengan Mentaliti Pemain Malaysia

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Kesungguhan pemain-pemain wanita yang ditampilkan dalam sesi percubaan dan pemilihan pemain skuad bola sepak wanita B-20 kebangsaan menarik perhatian jurulatih Soleen Al-Zoubi. Baginya, ini menunjukkan profesionalisme pemain berada pada tahap yang baik.

43 pemain bola sepak wanita dari seluruh negara dipanggil bagi menghadiri sesi percubaan dan pemilihan pemain yang berakhir hari ini. Ini bagi memilih siapa yang layak mewakili negara ke pusingan Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2024 di Kemboja pada Mac ini.

“Barisan pemain ini akan diberikan pelan latihan secara individu supaya mereka dapat mengekalkan prestasi mereka di tahap yang terbaik sementara menunggu panggilan rasmi ke kem latihan pusat yang akan diadakan pada pertengahan bulan Februari ini.

“Komitmen pemain ketika latihan selama empat hari ini menunjukkan bahawa mentaliti pemain sudah pun berada di tahap profesional.

“Dengan latihan yang konsisten dan penyertaan di dalam pertandingan-pertandingan bola sepak wanita yang bakal dianjurkan oleh FAM tahun ini, tidak hairan mereka ini akan menjadi bintang bola sepak wanita Malaysia pada masa hadapan,” katanya.

Soleen berkata demikian selepas sesi latihan terakhir bersama para pemain di Padang Latihan PKNS, Kelana Jaya pagi tadi.

Turut hadir pada sesi latihan tersebut ialah Exco FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bolasepak Wanita FAM, Dato’ Suraya Yaacob dan Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell.