Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Perkembangan skuad hoki di London amat baik apabila membuka tirai Siri Jelajah United Kingdom 2021 dengan memberikan tentangan yang cukup baik sebelum meraih keputusan seri 2-2 bertemu Old Georgians HC.
Aksi yang berlangsung di St. Georges College itu berlangsung dengan sangat baik apabila Malaysian Tigers berjaya mengekalkan rentak sehingga suku ketiga. Peluang itu dimanfaatkan oleh Muhammad Najib Abu Hassan yang berjaya membuka tirai jaringan menerusi gol padang pada minit ke-1.
Tidak terhenti di situ, pasukan negara terus gah untuk menggandakan kedudukan menerusi Muhammad Shahril Saabah pada minit ke-41 menerusi gol pukulan sudut penalti.
Sungguhpun begitu, pasukan lawan tidak menunjukkan sebarang tanda kekalahan awal setelah memperagakan aksi yang sangat baik apabila Old Georgians mengejar kedudukan itu dengan dua gol penyamaan pada minit ke-44 dan 58 menerusi gol padang.
Keputusan itu kekal hingga akhir perlawanan yang menyaksikan pertemuan berkenaan berkesudahan seri 2-2.
Namun begitu, ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, A Arulselvaraj menjelaskan situasi selepas tamat perlawanan pertemuan dengan pasukan kelab Old Georgians sebagai perlawanan yang sangat baik.
Pasukan itu rata-ratanya dibarisi oleh pemain kebangsaan Great Britain sekaligus memberikan cabaran yang cukup sengit buat pasukan kendaliannya sehingga berjaya mengikat mereka.
‘Beraksi di luar dan persembahan yang diberikan setakat ini adalah amat bagus walaupun kami bertemu pasukan kelab tetapi kelab ini membariskan 10 hingga 11 pemain kebangsaan Great Britain dan ini adalah satu perlawanan yang berkualiti’-Jelasnya kepada Arena Metro.
Arulselvaraj juga menjelaskan sungguhpun selepas empat bulan setengah tanpa pertandingan, namun para pemain masih mampu untuk menunjukkan semangat juang yang terbaik.
“Ia jelas dibuktikan dengan keputusan ini terutama ketika pasukan lawan mendapat lima pukulan sudut penalti berbanding kita yang hanya mendapat dua,” kata Arulselvaraj.
Untuk rekod seramai 23 pemain dipilih menyertai Siri Jelajah United Kingdom 2021 dengan 10 perlawanan ujian termasuk pertemuan dengan pasukan kebangsaan seperti Ireland dan Wales.
Ia akan menjadi salah satu persediaan skuad negara bagi menghadapi Kejohanan Hoki Piala Asia 2022 yang juga perlawanan kelayakan bagi Hoki Piala Dunia 2023.