Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Kemenangan ke atas Chile bukan saja kemenangan pertama Malaysia dalam Piala Dunia Hoki 2023. Malah, ia turut membantu Speedy Tigers menduduki ranking ke-10 dunia.
Ini selepas Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mengumumkan senarai terbaru ranking pasukan hoki dunia selepas tamat setiap perlawanan Piala Dunia Hoki 2023. Korea Selatan yang sebelum ini menduduki tangga ke-10 kini menghuni kedudukan ke-11.
Sebelum ini, FIH akan menaikkan kedudukan terbaru semua pasukan secara berkala. Kadang-kadang ia mengambil masa berbulan-bulan selepas sesebuah kejohanan berakhir.
Menariknya, untuk pertembungan terakhir Kumpulan C esok, Speedy Tigers boleh saja merampas kedudukan kesembilan. Ini kerana lawan mereka esok ialah New Zealand yang menduduki kedudukan berkenaan.
Bagi Arul Selvaraj, kedudukan terbaru skuad negara dalam ranking FIH menunjukkan kemajuan yang dicapai dan diharap boleh diteruskan dalam aksi terakhir Kumpulan C esok.
“Mata Piala Dunia akan ditambah segera dan itu sesuatu yang baik kerana pasukan-pasukan dapat melihat perkembangan mereka selepas tamat perlawanan. Bagi Malaysia, amat penting untuk kita maju dari segi kedudukan ranking dunia.
“Kita akan menentang New Zealand untuk perlawanan terakhir kumpulan bagi menentukan siapa lawan cross-over dan mendapatkan mata ranking berharga,” katanya.