Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Pertahanan tengah pasukan Selangor FC, Sharul Nazeem kini mula mencipta nama bersama pasukan apabila kelibatnya sering mencuri tumpuan para penyokong. Bukan itu sahaja, pertahanan muda Terengganu FC, Shahrul Nizam juga kurang diberi perhatian namun menampilkan aksi yang cukup konsisten mengemudi pertahanan pasukan.
Pertahanan muda pasukan Merah Kuning berusia 21 tahun itu menunjukkan kematangan dan potensi untuk diberi tanggungjawab bagi mengemudi jentera pertahanan pasukan. Usia yang muda bukanlah penghalang buatnya menampilkan aksi yang cukup bertenaga di atas padang.
Pada musim ini, pemain ini telah diturunkan sebanyak 13 kali dalam saingan Liga Super disebabkan kecederaan yang melanda tonggak utama pasukan. Beliau ternyata memanfaatkan peluang dengan baik bagi membuktikan kualiti yang ada padanya.
Bukan itu sahaja, beliau turut menjaringkan satu gol ketika menentang UITM FC menerusi sepakan percuma yang diambil oleh Oliver Buff.
Sungguhpun peluang yang dimiliki amat terhad, namun prestasi semasa Nazeem mendapat pujian rata-rata penyokong tanah air.
Seterusnya, seorang lagi pertahanan muda yang menunjukkan aksi yang amat baik ialah pertahanan Terengganu FC, Shahrul Nizam Roshasni.
Pemain berusia 23 tahun ini beraksi di posisi pertahanan tengah dan membentuk gandingan bersama kapten, Charlie De Murga.
Selain itu, beliau turut mengemudi barisan pertahanan dengan baik apabila ketiadaan De Murga di samping mampu untuk membuat hantaran-hantaran jauh dengan baik.
Anak kelahiran Kelantan ini telah tampil dalam 19 perlawanan sepanjang musim ini sekaligus membantu pasukan berada pada tangga keempat liga ketika ini.
Kedua-dua pemain ini nyata mempunyai peluang yang cerah untuk mengisi slot pertahanan tengah pada kejohanan akan datang disebabkan pertahanan utama negara, Aidil Zafuan bakal mencecah usia 36 tahun pada tahun hadapan.
Ini bakal membuka laluan kepada pemain yang lebih menyerlah untuk diserap masuk ke dalam skuad Harimau Malaya.