Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Bagi mana-mana pemain golf di Asia, peluang beraksi di Asian Tour ialah sesuatu yang tidak akan dilepaskan. Ini kerana ia merupakan kejohanan golf profesional terulung di Asia. Justeru, kejayaan Shahriffuddin Ariffin menyertai Asian Tour pada tahun hadapan merupakan sesuatu yang patut dibanggakan.
Shahriffuddin berjaya layak menyertai kejohanan tersebut selepas menduduki tempat keempat Asian Development Tour (ADT) Order of Merit 2022. Walaupun gagal mara jauh dalam Taifong Open yang berlangsung di Taiwan pada minggu lepas, dia berjaya mengekalkan kedudukan 10 teratas dengan pendapatan AS$51,890 (RM229,600).
Daripada 14 kejohanan ADT yang disertainya, Shahriffuddin memenangi satu kejohanan dan merekodkan kedudukan 10 pemain teratas sebanyak tiga kali. Dua pencapaian terbaiknya pada tahun ini ialah menjuarai PKNS Selangor Masters pada bulan lepas dan tempat kedua dalam Piala Laguna Phuket pada Mei lepas.
Dengan pencapaian tempat keempat ADT Order of Merit, pemain golf berusia 23 tahun itu akan menyertai dua lagi wakil negara, Ben Leong dan Nicholas Fung untuk Asian Tour tahun hadapan. Bagi Shahriffuddin, kejayaan ini merupakan sesuatu yang dinantikannya sejak sekian lama.
“Saya amat gembira kerana berjaya mendapat kad Asian Tour buat kali pertama selepas berusaha mendapatkannya selama bertahun-tahun sama ada melalui ADT atau Sekolah Kelayakan (Q-School).
“Kalau dahulu, saya kena bernasib baik kalau nak dapatkan satu, dua tempat dalam Asian Tour tetapi tidak lagi dengan status pengecualian yang saya raih membenarkan saya menyertai kebanyakan kejohanan,” katanya semasa ditemubual akhbar New Straits Times.
Shahriffuddin bukan satu-satunya wakil negara yang tersenarai dalam kedudukan 25 pemain teratas ADT Order of Merit. Selain dia, turut tersenarai ialah pemenang pingat emas Sukan SEA Ervin Chang (ke-15), Paul San (ke-18) dan Amir Nazrin Jailani (ke-23).