Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Pelumba basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom telah memaklumkan bahawa dirinya akan beraksi dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2021 yang akan berlangsung di Roubaix, Perancis kelak. Pelumba yang berusia 25 tahun ini mengesahkan perkara itu dalam satu majlis pemberian insentif daripada menteri besar Johor, Datuk Hasni Mohammad di Kota Iskandar hari ini.
Shah sebelum ini dilaporkan masih berkira-kira untuk menyertai kejohanan ini kerana mahu memberi fokus terhadap keluarga. Namun begitu, semangat membara anak muda kelahiran Muar membuatkan beliau tekad untuk menutup tirai tahun ini dengan kenangan yang manis.
Memetik kata-kata Shah Firdaus daripada Sinar Harian, Shah menjelaskan bahawa dia sudah kembali pulih dan sudah bersedia untuk mempamerkan aksi cemerlang dalam kejohanan dunia akan datang.
“Alhamdulillah, keadaan saya kini sudah 100 peratus pulih dan bersedia untuk berlumba. Memandangkan kejohanan di Perancis merupakan penutup tahun ini, saya memilih untuk menyertainya.”
Shah menjelaskan bahawa beliau akan bersama rakan sepasukannya, Fadhil Zonis untuk mengharumkan nama negara di pentas dunia. Shah turut mengharapkan sokongan serta dorongan yang tidak berbelah bahagi diberikan oleh rakyat Malaysia.
“Saya akan berlepas ke Perancis pada 10 Oktober bersama rakan sepasukan Muhammad Fadhil Mohd Zonis. Saya akan melakukan yang terbaik dan mengharapkan sokongan rakyat Malaysia,” katanya.