Sentuhan Rexy Mainaky Kembali Jadi Taruhan BAM

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam mengumumkan kehadiran Rexy Mainaky yang kembali menggalas tugas sebagai jurulatih beregu lelaki Malaysia. Beliau akan bergandingan dengan Wong Choong Han dalam memperkukuhkan lagi skuad badminton negara.

Bekas jaguh badminton Indonesia ini menyatakan rasa terujanya ketika ditermuramah oleh Astro Arena. Rexy menganggap sekembalinya beliau di BAM adalah perkara yang menggembirakan.

“Pasti sudah lama saya tidak bersama BAM, kali terakhir saya bersama BAM adalah pada 2012. Hampir 9 tahun, dan sekembalinya saya ini ia menjadi suatu yang menggembirakan.”

Bekas pemenang pingat emas Atlanta 1996 ini juga memaklumkan bahawa beliau akan memulakan tugasnya secara rasmi pada 1 Disember.

“Saya gembira kerana BAM memberi saya kesempatan untuk kembali bersama Malaysia. Untuk setakat ini saya boleh beri konfirmasi bahawa saya sudah bergabung dengan BAM dan akan memulakan kerja pada 1 Disember. Jadi perasaan saya pasti senang untuk kembali membantu pasukan badminton Malaysia.”

Rexy turut menyatakan rasa rindunya kepada Malaysia. Beliau tekad untuk memberikan yang terbaik sekaligus membantu skuad badminton negara menempa kejayaan di masa hadapan.

“Saya sudah lama bekerja dengan BAM, memang ada suatu kerinduan dimana saya belum bisa memberikan yang terbaik buat Malaysia sebelum ini. Jadi ini merupakan suatu kesempatan terbaik untuk beri apa yang BAM harapkan untuk masa hadapan badminton Malaysia.”

Untuk rekod, Rexy Mainaky adalah individu yang banyak melahirkan bintang-bintang beregu lelaki negara. Khidmat Rexy yang suatu ketika dahulu pernah membawa kegemilangan pada gandingan Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong kini ditagih kembali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *