“Semua Pesaing Axelsen Mahu Halang Dia” – Wong Choong Hann

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Pilihan utama Terbuka Malaysia 2023, Viktor Axelsen pastinya mahu memulakan tahun ini dengan menjulang kejohanan Super 1000 itu. Tetapi bagi Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Wong Choong Hann, pemain Denmark itu bakal berdepan tugas sukar merealisasikan impian tersebut.

Ini kerana hadiah Terbuka Malaysia 2023 kali ini lagi lumayan dengan nilai AS$1.25mil (RM5.547 juta) dengan juara perseorangan lelaki membawa pulang hadiah bernilai AS$87,500 (RM388,290).

Justeru, dengan nilai hadiah kemenangan yang sebegitu rupa, ia dianggap pembakar motivasi bagi semua pemain untuk menjulang kejohanan tersebut.

“Viktor sememangnya pemain pilihan tetapi kita tidak boleh menafikan kebolehan 10 pemain teratas dunia yang lain termasuk pemain nombor dua dunia, Lee Zii Jia. Saya fikir ia tugas sukar buat Viktor untuk sampai ke final,” katanya.

“Shi Yuqi dari China, Kunlavut (Vitdisarn) dari Thailand dan pemain-pemain Indonesia (Jonathan Christie dan Anthony Ginting) juga berpotensi sebagai ancaman. Sesiapa saja dari kalangan mereka yang boleh mencipta kejutan ke atasnya,” tambah Choong Hann lagi.

Hakikat ini turut disedari oleh pemain nombor satu dunia itu. “Terdapat ramai pemain yang baik dan berbakat dalam kategori ini. Jika anda tidak fokus, anda akan mudah ditimpa masalah.

“Tekanan itu satu kelebihan tetapi itu juga bermakna saya berada di posisi di mana saya beraksi dengan cemerlang. Saya akan biarkan orang lain tentukan siapa pemain pilihan. Bagi saya, saya akan fokus kepada perlawanan saya,” katanya.

Bagi Choong Han, fokus beliau untuk pusingan pertama ini ialah pemain muda Ng Tze Yong. Ini kerana Tze Yong telah menunjukkan kematangan dalam beberapa kejohanan kebelakangan ini dan beliau berharap ia dapat diteruskan di Terbuka Malaysia 2023.

“Saya percaya Tze Yong ada peluang untuk cemerlang. Tetapi dia perlu mempunyai keyakinan untuk mendapatkan keputusan yang dimahukan. Dia bermain dengan baik bila menentang 20 pemain terbaik dunia dan dia hanya perlu meneruskannya,” ujarnya.