Selangor Sambar Bintang Sensasi Jepun

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Menjelang aksi suku akhir pertama Piala Futsal Malaysia 2023 yang berlangsung esok, Selangor MAC mengorak langkah dengan membawa masuk bintang Jepun, Takeshi Higuchi.

Higuchi dibawa masuk menggantikan penjaring terbanyak mereka musim ini, Ali Ebrahimi dari Iran. Ebrahimi tidak mengambil bahagian dalam saingan Piala Futsal Malaysia 2023 selepas kembali ke tanah airnya untuk beraksi di liga negara itu.

Sepanjang bersama Selangor, penyerang Iran itu muncul penjaring terbanyak Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) dengan 22 gol.

Justeru, Merah Kuning berharap kehadiran Higuchi dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ebrahimi. Pemain Jepun ini akan menyarung jersi nombor 13.

Bekas bintang skuad futsal B-20 Jepun ini pernah beraksi di Sepanyol bersama Atletico Benavente. Higuchi yang beraksi di posisi pivot akan bergandingan dengan seorang lagi pemain import Selangor dari Brazil, Matheus Vasconcelos atau lebih mesra dipanggil Ceara.

Pemain Jepun itu sudah menjalani latihan bersama Selangor sejak semalam. Dan sekiranya semua berjalan lancar, peminat Merah Kuning bakal melihat Higuchi membuat penampilan pertama menentang Shah Alam City esok.

Selangor berharap dapat mempertahankan Piala Futsal Malaysia yang dimenangi pada tahun lepas selepas gagal meraih gelaran MPFL musim ini.