Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Dengan Terbuka Malaysia bakal membuka tirai dua hari lagi, ia diharap menjadi pembuka lembaran 2023 yang baik buat pemain perseorangan negara Lee Zii Jia. Selepas dikecewakan pada pusingan kedua tahun lepas, Zii Jia mahu beraksi lebih baik di hadapan penyokong sendiri.
“Untuk kejohanan tahun ini, memang rasa teruja lagi-lagi bermain di Malaysia. Saya berharap dapat keputusan yang baik.
“Berbanding tahun lepas keadaan saya kurang baik, kali ini keadaan saya memang okay dan harap semua akan baik dan ada keputusan baik di sini,” katanya semasa ditemubual media selepas sesi latihan Terbuka Malaysia 2023 di Stadium Axiata hari ini.
Zii Jia sebelum ini dikecewakan pemain bukan pilihan dari Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito pada edisi 2022 di pusingan kedua. Manakala pada edisi 2019 pula, dia kecundang kepada pemain Thailand S. Avihingsanon.
Oleh sebab itu, Zii Jia tidak mahu memandang mudah cabaran pemain muda Jepun, Kodai Naraoka di pusingan pertama.
Naraoka sudah membuktikan keupayaannya selepas menduduki tempat ketiga di Jelajah Dunia Final pada Disember lepas. Ketika ini, dia menduduki ranking ke-13 dunia.
Selain itu, Zii Jia juga perlu bijak menyerap tekanan bukan saja dengan status sebagai pemain pilihan kedua kejohanan. Tetapi juga berupaya beraksi dengan baik di hadapan penyokong sendiri.
“Saya juga pernah menjadi pemain yang sedang meningkat naik dulu dan berdepan pemain-pemain pilihan. Mereka pun akan rasa tekanan dan kali ini, saya pun kena tahan tekanan sebagai pemain pilihan kedua. Jadi, saya akan berusaha melakukan yang terbaik.
“Kodai (Naraoka) gemar bermain rali yang panjang. Jika anda lihat hampir semua perlawanan dia tahun lalu mengambil masa lebih sejam. Saya perlu banyak bersabar dan perlu bersedia untuk bermain dalam perlawanan yang panjang,” tambahnya.