Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Tahun 2024 bakal menyaksikan negeri Sarawak dipilih sebagai tuan rumah temasya Sukan Malaysia (Sukma). Keputusan ini dibuat oleh Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh hari ini.
Selain mengumumkan Sarawak sebagai tuan rumah temasya 2024, jawatankuasa sama turut memilih Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai tuan rumah temasya 2026 dan Kelantan (2028).
“Selepas giliran Sarawak selaku tuan rumah edisi Sukma 2024, temasya Sukma pada tahun 2026 akan dianjurkan oleh MSN. Kelantan pula bersetuju untuk menerima tanggungjawab selaku tuan rumah Sukma 2028 untuk memberikan mereka tempoh persiapan yang lebih panjang.
“Rasional sistem penggiliran tuan rumah itu bertujuan untuk mengurangkan beban kerajaan Persekutuan bagi memberikan bantuan kewangan kepada negeri-negeri yang meliputi peruntukan pembinaan dan naik taraf infrastruktur sukan, kos penganjuran dan juga pembiayaan program persediaan atlet di peringkat negeri,” katanya.
Hannah ditemui media selepas mesyuarat jawatankuasa dan Majlis Menandatangani Kod Sukan Selamat Bersama Exco Belia dan Sukan Negeri yang diadakan di Putrajaya hari ini.
“Senarai 28 jenis sukan wajib yang akan dipertandingkan pada Sukma 2024 ialah akuatik (renang dan terjun), angkat berat, badminton, berbasikal (trek dan lebuhraya), gimnastik (artistik dan gimrama), golf, lawan pedang, memanah, menembak, olahraga, pelayaran, hoki, judo, ping pong, taekwondo, karate, boling padang, pencak silat, sepak takraw, skuasy, tenpin bowling, wushu, bola sepak, ragbi, bola jaring, bola keranjang, bola tampar dan tenis.
“Sarawak selaku tuan rumah Sukma 2024 juga diberikan pilihan memasukkan beberapa sukan tambahan dan memutuskan untuk menyenaraikan empat jenis sukan iaitu tinju, muay thai, petanque dan sukan elektronik (esukan) bagi temasya Sukma 2024, tertakluk kepada jumlah minimum penyertaan enam negeri seperti terkandung dalam Peraturan Am Sukan Malaysia.
“Jawatankuasa juga bersetuju untuk MSN mengadakan beberapa sesi libat urus bersama persatuan sukan kebangsaan dan pemegang taruh yang berkaitan bagi mengkaji kemungkinan membuka penyertaan kepada lebih banyak jenis sukan untuk dipertandingkan pada edisi temasya Sukma pada masa hadapan,” tambah Ahli Parlimen Segambut itu.
Bagi Sarawak menerusi Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, mereka sudah bersedia. Ini disebabkan Sarawak pernah menjadi tuan rumah Sukma pada 1990 dan 2016.
Satu-satunya fasiliti yang perlu diwujudkan ialah velodrom basikal untuk acara basikal trek. Sementara kemudahan lain seperti lapangan sasar dan padang ragbi sudah ada di negeri berkenaan.
“Saya rasa Sarawak mempunyai kemudahan mencukupi seperti di Kompleks Sukan di Kuching, saya rasa kompleks sukan negeri terbesar di Malaysia yang berada di satu tempat.
“Cuma satu saja, kita tak ada velodrom…kalau fasiliti lain seperti lapangan sasar, padang ragbi itu semua kita sudah ada.
“Untuk Sukma kali ini, kita bercadang untuk diadakan bukan saja di bandaraya Kuching tetapi dipecah-pecahkan lagi di bandar atau bandaraya lain seperti Miri, Sibu dan Sri Aman supaya lebih ramai rakyat menikmati dan memberikan sokongan,” katanya.