‘Roadblock’ PDRM Berjaya Sekat Amukan JDT

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Aksi pusingan 16 terbaik Piala FA Johor Darul Ta’zim (JDT) dan PDRM menyaksikan tuan rumah mara selepas mengalahkan Sang Saka Biru 3-0. Tetapi apa yang menarik perhatian penyokong ialah taktik ‘roadblock’ PDRM yang diperkenalkan jurulatih Azzmi Aziz pada babak kedua.

Taktik tersebut menyaksikan pemain-pemain The Cops berada dalam bahagian mereka dan menyerap asakan tuan rumah. Ini mengakibatkan barisan penyerang Harimau Selatan diketuai Bergson da Silva buntu mencari gol tambahan pada babak kedua.

Lebih mengecewakan penyokong tuan rumah ialah tindakan pasukan pelawat yang dilihat sengaja melengah-lengahkan permainan. Selain itu, beberapa pertelagahan yang tercetus antara pemain kedua-dua pasukan termasuk Bergson dan pemain import Sang Saka Biru, James Okwuosa juga tidak membantu usaha tuan rumah mendapatkan gol.

Atas sebab itu, tidak hairanlah mengapa pentadbir akaun media sosial PDRM melafazkan rasa syukur kerana pasukan tidak menjadi mangsa belasahan seperti yang dialami Selangor, Sabah, Kedah, Negeri Sembilan dan KL City.

Walaupun ada tidak berpuas hati dengan taktik ‘roadblock’ sebegini, ia menunjukkan PDRM amat berdisiplin dan mengikut perancangan Azzmi pada babak kedua. Malah, seperti yang diperkatakan jurulatih itu dalam beberapa temubualnya sebelum ini, beliau mahu memastikan pasukannya tidak menjadi mangsa belasahan JDT.

“Kita tahu musim ini JDT lebih mencabar dan persiapan mereka juga lebih baik. Kita lihat setakat ni dalam perlawanan liga pun dengan 36 gol. Untuk kami di PDRM, kita akui akan beri yang terbaik dan cuba bertahan sehabis baik,” ujar Azzmi sebelum perlawanan bermula.

Dengan kemenangan ini, JDT mara ke suku akhir dan menanti sama ada Penang atau Kuching City sebagai lawan mereka yang seterusnya.

Tetapi bagi PDRM, mimpi ngeri mereka masih belum berakhir. Ini kerana Sang Saka Biru perlu berdepan Harimau Selatan di Stadium MBPJ untuk perlawanan Liga Super pada 19 April.

Jika Sang Saka Biru menunjukkan permainan sama seperti yang dipaparkan dalam babak kedua perlawanan semalam, tidak mustahil PDRM boleh melakar kejutan ke atas lawan mereka itu nanti.