Ridzuan Puzi Tetap Wira Negara

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Baru-baru ini telah tular satu video yang dikongsikan di Tiktok dan Twitter berkenaan sambutan kepulangan wira paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Puzi.

Rata-rata rakyat Malaysia meluahkan rasa sedih dan terkejut apabila melihat layanan yang diberikan terhadap atlet itu menerusi video tersebut. Ini kerana suntingan video itu seolah-olah menunjukkan Ridzuan Puzi seperti diendahkan ketika sambutan itu dilihat hanya untuk meraikan atlet yang membawa pulang pingat semata-mata.

Ketika kepulangan kem terakhir atlet paralimpik negara dari Tokyo, para atlet dan team Paralimpik Malaysia disambut baik oleh rakyat Malaysia di lapangan terbang KLIA. 

Seluruh rakyat Malaysia pastinya teruja dengan kepulangan Liek Hou dan Latif Romly. Para penyokong juga mempersoalkan respon petugas media yang hanya memfokuskan kepada dua orang wira emas negara itu sehingga mengenepikan dua atlet lain yang pulang bersama-sama iaitu Ridzuan Puzi dan Didin Taresoh.

Reaksi Ridzuan Puzi di KLIA ketika itu meninggalkan sebak dalam diri penyokong. Beliau dilihat terpinga-pinga dan seolah sedang menahan sebak sungguhpun perjuangan beliau di Tokyo berakhir dengan cemerlang namun rezeki tidak memihak kepada beliau untuk meraih pingat.

Suntingan video yang dimuat naik itu telah menggambarkan kesedihan serta kepiluan Ridzuan Puzi ketika itu. Beliau dari belakang hanya mampu memandang dari jauh melihat sambutan meriah rakan-rakannya.

Dalam pada itu, di laman Instagram rata-rata netizen memberi sokongan dan kata-kata semangat buat Ridzuan. Rakyat Malaysia bersatu menunjukkan tanda hormat dan penghargaan serta mengucapkan terima kasih buat Ridzuan Puzi. Setiap ‘story’ tersebut telah dimuat naik semula Ridzuan di laman Instagram miliknya.

Nama Ridzuan Puzi pernah dijulang tinggi suatu ketika dahulu. Tidak sesekali kita lupa bahawa Ridzuan Puzi bertungkus-lumus menjulang nama negara di persada dunia. 

Atlet yang mesra disapa Dikwan ini sudah beberapa kali mencipta nama di pentas dunia termasuklah ketika di Doha 2015 apabila larian beliau di kejohanan IPC membawa pulang kilauan emas. Di Rio 2016, beliau sekali lagi membanggakan Malaysia menerusi pingat emas paralimpik. Pada tahun berikutnya, di Stadium Nasional Bukit Jalil, sejarah tercipta walaupun Dikwan ketika itu mengalami demam denggi, namun pecutan hebat Dikwan tetap menatijahkan emas. 

Buat Dikwan, usahlah anda bersedih. Kami rakyat Malaysia sentiasa menghargai pengorbanan anda. Bukan mudah untuk beraksi dan mewakili negara di pentas dunia. Jangan gusar dan khuatir, jasa anda akan tetap kami hargai. Anda tetap wira kami, Ridzuan Puzi.

Buat seluruh rakyat Malaysia teruskan menyokong wira-wira kita. Jangan hanya sokong bila mereka berjaya. Semua atlet adalah wira negara, wira Malaysia. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *