Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Rentetan daripada kekalahan beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dalam kejohanan Terbuka Malaysia 2023, Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky tampil mengulas prestasi semasa yang dipamerkan beregu nombor satu negara itu.
Rexy dilihat sedikit kecewa dengan persembahan yang ditampilkan wakil-wakil negara. Menurut Rexy, mereka seharusnya beraksi dengan lebih baik di hadapan penyokong dan memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri.
“Seharusnya apabila beraksi di tempat sendiri dengan situasi seperti ini (sorakan padu penyokong Malaysia), mereka ada keyakinan untuk (meraih kemenangan).
“(Tetapi) tengok mereka seperti tidak ada jiwa. Ia selalu berlaku pada mereka yang seperti menunggu sahaja pihak lawan membuat kesalahan.”
Bagaimanapun Rexy menganggap satu tanggungjawab untuk beliau menilai semula apa yang terjadi kepada pemain-pemain negara. Jelas Rexy, beliau akan selidik dan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mereka.
“Kenapa tidak ada jiwa? Itu yang berlaku ke atas Aaron dan Wooi Yik. Jadi tanggungjawab saya untuk menilai situasi itu,” kata Rexy kepada Stadium Astro.
Gandingan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik tewas kepada wakil dari China Liu Yu Chen dan Ou Xuan Yi, menerusi straight set, 10-21, 21-23 pada kelmarin. Langkah beregu lelaki negara itu terhenti di pusingan ke-16 saingan Terbuka Malaysia 2023.
Untuk makluman, tiada satu pun wakil negara yang berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir Terbuka Malaysia 2023. Pencapaian terbaik wakil negara kali ini adalah menerusi gandingan Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi serta Tang Jie dan Toh Ee Wei yang menamatkan cabaran di pusingan suku akhir.