Rasuah Punca Lelaki Ini Tendang Hadiah & Mengamuk

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Isu rasuah dalam pelbagai acara sukan bukan sesuatu yang baru terutama di negara-negara yang mempunyai rekod integriti yang rendah. Di Bangladesh, isu ini menjadi punca seorang ahli bina badan lelaki mengamuk dan menendang hadiah yang diberi kepadanya.

Kekecohan ini dicetuskan oleh Jahid Hasan Shuvo selepas ahli bina badan lelaki itu mendakwa juri pertandingan dari Persekutuan Bina Badan Bangladesh (BBF) berlaku bias terhadapnya. Akibatnya, dia hanya mendapat tempat kedua dalam kejohanan bina badan peringkat kebangsaan yang diadakan pada Jumaat lepas.

Sebagai naib juara, Shuvo mendapat pingat dan sebuah mesin pengisar sebagai hadiah. Sebaik melihat hadiah tersebut, dia bukan saja menanggalkan pingat yang dikalung. Malah, dia bertindak menendang kotak yang berisi mesin pengisar itu sambil disaksikan oleh para peserta, juri pertandingan dan penonton.

Bila ditanya oleh media tentang perilakunya itu, Shuvo memberitahu dia marah bukan kerana hadiah yang diterimanya itu. Sebaliknya, ia sebagai ekspresi kemarahan terhadap gejala rasuah yang didakwa membelenggu BBF.

“Ini merupakan sepakan terhadap gejala rasuah. Semua bentuk rasuah di mana-mana tempat di negara kita. Kanak-kanak pun boleh kenal perbezaan fizikal antara saya dengan pemenang.

“Bagaimanapun, saya memohon maaf atas tindakan saya itu, kerana tanpa sebab, ia nampak tidak manis untuk seseorang ahli sukan berbuat demikian,” katanya.

Bagaimanapun, tindakannya telah dirujuk kepada jawatankuasa disiplin BBF. Dan dalam tempoh dua hari, BBF mengumumkan Shuvo dikenakan penggantungan seumur hidup mengikut peraturan Persekutuan Bina Badan Antarabangsa (IFBB) dan BBF kerana tidak menunjukkan semangat kesukanan dan melanggar disiplin BBF.