Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dijangka lebih sibuk selepas bergelar penyampai radio Hot FM dan Ahli Lembaga Pengarah Johor Darul Ta’zim (JDT). Ini selepas beliau memenangi pemilihan jawatan Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) hari ini.
Khairy dipilih sebagai Naib Presiden 5 PKBM selepas memenangi 33 undi. Sementara Ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), Datuk Amarjit Singh mempertahankan jawatannya sebagai Naib Presiden 1 dengan 71 undi.
“Nasib baik saya menang pemilihan ini. Kalau tak, maknanya saya kalah semua pertandingan,” katanya secara berseloroh selepas pemilihan Pemilihan Jawatankuasa Tertinggi PKBM Penggal 2023-2026. Khairy tewas di Parlimen Sungai Buloh dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu.
Tetapi Amarjit mencipta kejutan hari ini kerana hampir menyapu bersih undi 71 daripada 72 undi untuk jawatan Naib Presiden 1 PKBM. Baginya, itu tanda kepercayaan perwakilan kepada dirinya untuk terus menyumbang kepada persatuan berkenaan.
“Saya terharu dengan sokongan daripada perwakilan negeri. Ini menunjukkan perwakilan negeri percaya saya boleh memberi sumbangan positif kepada sukan berbasikal. Pada waktu yang sama, saya akan menjaga kepentingan UCI dan ACC dengan baik,” katanya.
Satu lagi kejutan tercipta apabila Mazlan Md Jalil menewaskan penyandang Timbalan Presiden, Yunus Ibrahim dengan 45 undi. Walaupun terkejut dengan keputusan itu, Mazlan berikrar untuk berusaha keras membantu Malaysia kekal sebagai kuasa berbasikal di peringkat Asia.
“Saya sangat terkejut. Namun, saya percaya ini adalah satu keputusan daripada semua perwakilan negeri. Saya anggap ini hari bertuah kepada diri saya. Saya berjanji akan bekerjasama erat membantu Presiden PKBM,” ujarnya.
Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab kekal untuk penggal 2023-2026 selepas menang tanpa bertanding. Sementara Mohd Shaiful Abdul Jalil, Dr Zaim Ahmad dan Norazman Abu Samah masing-masing mengisi jawatan Naib Presiden 2, Naib Presiden 3 dan Naib Presiden 4 PKBM.
Jawatankuasa Tertinggi PKBM Penggal 2023-2026
Presiden: Datuk Abu Samah Abd Wahab (menang tanpa bertanding)
Timbalan Presiden: Mazlan Md Jail – 45 undi
Naib Presiden 1: Datuk Amarjit Singh – 71 undi
Naib Presiden 2: Mohd Saiful Abd Jalil – 54 undi
Naib Presiden 3: Dr Zaim Ahmad – 46 undi
Naib Presiden 4: Norazman Abu Samah – 42 undi
Naib Presiden 5: Khairy Jamaluddin 33 – undi