Rasmi: Kelab Korea, Chungbuk Cheongju Sambar Khidmat Kogileswaran

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Bekas pemain bintang PJ City FC, Kogileswaran Raj secara rasminya telah menyertai Chungbuk Cheongju FC semalam.

Berita mengenai pemain berusia 24 tahun itu berhijrah ke luar negara akhirnya terbukti apabila beliau dilaporkan menyertai sebuah kelab di Korea.

Sebelum ini, pemain sayap kanan Harimau Malaya itu dikatakan akan bersama kelab di Singapura dan juga Thailand, tetapi itu hanyalah sekadar khabar angin semata-mata.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik oleh beliau, bekas bintang Sri Pahang itu sudah pun menandantangani perjanjian yang menyaksikan beliau akan beraksi di Liga kedua Korea bersama Chungbuk Cheongju bagi musim 2023.

Anak jati kelahiran Kuala Lumpur itu sempat merakamkan ucapan terima kasih kepada para penyokong yang sentiasa berada di belakangnya.

“Saya telah menandatangani kontrak selama setahun bersama kelab pada 10 Januari lalu.”

“Bagi berdepan cabaran baru bersama kelab ini, saya akan memberikan yang terbaik untuk membanggakan Malaysia,” jelasnya.

Pada musim lalu, Kogileswaran telah beraksi dengan cemerlang dalam percaturan jurulatih pasukan, P. Maniam sepanjang musim 2022.