Rasmi: Cameron Ng Dilantik Ketua Jurulatih Malayan Tigress B-20

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Pencarian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk ketua jurulatih skuad Malayan Tigress B-20 sudah berakhir. Ini selepas FAM mengumumkan Cameron Ng sebagai ketua jurulatih skuad berkenaan hari ini.

Nama Cameron dipilih selepas diskusi mendalam membabitkan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell dan Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Dato’ Suraya Yaacob.

Cameron sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Unit Akar Umbi FAM selama tiga tahun. Bagi O’Donell, dia dilihat calon sesuai untuk memacu pembangunan pemain-pemain muda yang beraksi dalam skuad wanita B-20 negara.

“Seperti yang kita tahu, Cameron bukan sahaja aktif dalam program-program pembangunan pemain tetapi beliau juga adalah salah seorang instruktur untuk Unit Pendidikan Kejurulatihan FAM yang dikendalikan oleh Lim Kim Chon.

“Beliau telah menunjukkan kesungguhannya di dalam kejurulatihan menerusi program-program akar umbi dan komitmen seperti inilah yang amat diperlukan oleh skuad bola sepak B-20 wanita kebangsaan terutama sekali dengan kempen Kelayakan Piala Asia B-20 Wanita 2024 yang akan berlangsung bulan hadapan.

“Komitmen Cameron juga boleh dilihat sewaktu beliau membantu Ketua Jurulatih Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi pada sesi percubaan dan pemilihan pemain baru-baru ini.

“Dengan kerjasama di antara Soleen dan Cameron yang sentiasa bertukar idea dan pendapat dibelakang tabir, saya berharap ia dapat mewujudkan persekitaran yang lebih profesional serta positif untuk skuad bola sepak wanita kebangsaan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sementara itu, Soleen melihat kehadiran Cameron dapat memantapkan perancangannya membangunkan Malayan Tigress ke tahap yang lebih tinggi.

“Cameron mempunyai pemahaman tinggi mengenai sistem bola sepak moden dan kualiti itu amat diperlukan bagi membentuk pasukan yang kuat dan lebih kompetitif.

“Kebolehan Cameron dalam bidang kejurulatihan ini boleh dilihat menerusi komitmennya terhadap pembangunan pemain dan pengalamannya sudah tentu dapat diterapkan di dalam skuad Malayan Tigress B-20,” katanya.

Walaupun menggalas jawatan sebagai jurulatih Malayan Tigress B-20, Cameron akan terus kekal menjawat Ketua Unit Akar Umbi FAM.