Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Kecederaan yang membelenggu pemain badminton perseorangan wanita, Goh Jin Wei menjadikan prospek muda itu terpaksa bersara daripada arena badminton negara. Pemain yang berusia 21 tahun itu telah memaklumkan persaraannya pada tanggal 13 September 2021 yang lalu. Pengumuman tersebut telah mendapat respon balas jurulatih kebangsaan, Rashid Sidek.
Rashid Sidek berasa sedih atas kehilangan khidmat Jin Wei. Menurut penjelasan Rashid, usia beliau masih muda namun atas faktor kesihatan sedikit sebanyak telah memaksa impian pemain muda itu untuk kembali menggegar dunia terpaksa ditangguhkan.
“Pada pandangan saya, berita persaraan tersebut merupakan satu kejutan. Beliau masih muda, masih banyak masa dan baru berusia 21 tahun. Namun apakan daya, beliau ada sebab yang tersendiri. Faktor kecederaan dan penyakit yang serius itu memaksa beliau untuk bersara.”
Lagenda perseorangan negara itu turut mengulas berkaitan prestasi beberapa pemain badminton muda negara. Menurut Rashid, kecederaan merupakan antara faktor yang boleh menjejaskan prestasi seseorang pemain, namun apa yang lebih penting adalah sikap dan disiplin ketika latihan.
“Antara faktornya adalah dari segi kecederaan. Namun yang lebih penting adalah sudut komitmen dan target seseorang pemain itu. Kadang-kadang sesetengah pemain itu bila dah masuk dalam kebangsaan, mereka akan merasa lebih selesa,”-Jelas beliau kepada Astro Arena
Sungguhpun begitu, Rashid turut memberi amaran kepada pemain badminton negara untuk kekal fokus dan berusaha sebaik mungkin ketika bertanding. Selain mencari pengalaman, gelaran juara itu juga penting bagi meningkatkan keyakinan diri.
“Ada sesetengah pemain yang menganggap kalah atau menang itu tidak mengapa kerana menyangka dirinya masih muda dan masih banyak masa. Boleh mencari lebih banyak pengalaman. Namun pada saya itu tak bagus, kerana selagi kita masih terdaya dan ada kekuatan, maka selagi itu kita berusaha. Walaupun umur masih muda, apa salahnya jika kita azam ke final dan target untuk menjadi juara.”