Ramalan Datuk Jalani Sidek Tentang Kebangkitan Lee Zii Jia Makin Jadi Kenyataan

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Kejayaan Lee Zii Jia mara ke separuh akhir Terbuka Australia 2023 secara tidak langsung merealisasikan pandangan legenda badminton negara, Datuk Jalani Sidek bahawa perseorangan utama Malaysia itu mampu bangkit semula.

Selepas dibelenggu prestasi tidak konsisten sejak dari awal tahun, ramai peminat badminton menyangka Zii Jia tidak boleh dijadikan sebagai sandaran emas Malaysia untuk Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Begitupun, pandangan itu kurang dipersetujui Jalani kerana secara dasarnya, anak jati Alor Setar, Kedah itu memiliki corak permainan yang bagus. Apa yang dilalui Zii Jia itu hanyalah proses untuk dirinya kembali ke puncak kejayaan.

“Macam Lee Chong Wei cakap ‘Lee Zii Jia perlukan masa’, itulah. Kalau tanya saya pasal Lee Zii Jia, saya setuju. It’s a matter of time dia akan bangkit sebab permainan dia dah bagus.

“Cuma kat sini saja (mentaliti), itu ambil masa. Jadi, OK, dia ambil jurulatih Indonesia (Indra Wijaya), tak berjaya walaupun dia menang di Thailand dan lain-lain.

“Dia ambil Wong Tat Meng, inilah proses. Kalau dia nak jadi champion, kena bagi dia masa,” katanya dalam sidang media khas abangnya yang juga bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja BAM, Datuk Misbun Sidek pada 1 Ogos lalu.

Selepas berjaya mara ke separuh akhir, ramai berharap Zii Jia dapat kekal konsisten sekaligus kembali mendaki ranking badminton dunia BWF dan layak ke Sukan Olimpik 2024.